Saturday, February 28, 2015

Suatu permulaan yang tiada akhir

Assalamualaikum warahmatuhallahi wabarakatuh


Alhamdulilah, hari ini saya diberi ruang dan peluang untuk menulis kembali setelah sekian lama sibuk dengan pelbagai urusan. 

Pada pandangan saya membaca tanpa menulis umpama mancis yang digunakan untuk membakar, apinya terhasil dalam masa yang begitu singkat.

Begitu juga ilmu, apabila kita membaca ia akan bersinar menyinari dalaman kita, kemudian apabila dilupakan maka hilang sinarnya.

Untuk mengelak pekara ini berlaku, menulis merupakan salah satu cara untuk kita menyimpan maklumat daripada hilang.

Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana tahun 2015 merupakan tahun yang bersejarah dalam hidup saya. Saya telah berjaya menamatkan pengajian diperingkat Phd setelah sekian lama bertungkus lumus selama tiga tahun.

Bulan october tahun ini merupakan majlis konvokesyen saya untuk kali ketiga, saya berharap semuanya akan berjalan dengan lancar. Sebelum konvokesyen pelbagai persediaan yang perlu saya lakukan. 

Salah satunya adalah persediaan untuk menjadi seorang bapa, Jadi bolehlah bergambar dengan anak  dan isteri tercinta nanti. 

Tamatnya pengajian saya diperingkat Phd bukan bermakna tamatnya segala tetapi ia adalah satu permulaan untuk saya bagi melalui alam pekerjaan yang penuh dengan dugaan dan ujian.

Rezeki ada dimana-mana yang penting adalah usaha, tanpa usaha rezeki tidak akan datang bergolek-golek. Saya masih menunggu keputusan permohonan sebagai pensyarah kanan di UPM dan UKM. 

Saya tidak kisah saya dapat dimanapun yang penting saya dapat berkerja dengan gembira dan dapat memberi khidmat yang terbaik. 

Hanya Allah mengetahui mana yang terbaik untuk saya. Saya hanya berserah dan bertawakal kepada Allah.

Jadi sebelum saya masuk sebagai seorang pensyarah, saya berkerja dengan seorang Prof yang terkenal di Fakulti Engineering dalam bidang biosensor.

Saya amat bersyukur kerana Prof tersebut sudi menerima saya walaupun menjadi seorang pembantu penyelidik. Insyallah saya akan mengunakan peluang untuk sebaik mungkin.

Sebenarnya saya sedikit risau disebabkan tanggungjawab yang akan saya pikul nanti sebagai seorang pensyarah.

Tugas pensyarah bukan hanya mengajar tetapi perlu melakukan penyelidikan. Jadi memang banyak tanggungjawab yang perlu saya pikul. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya.




Saturday, April 13, 2013

Perasaan hasad dengki

Salam semua, hari ini saya ingin berbicara mengenai suatu yang tidak asing dalam hidup kita dan tidak boleh dipisahkan. 

Perasaan hasad dan dengki adalah suatu perasaan yang ada dalam diri kita apa bila melihat suatu kelebihan atau rezeki yang diberikan Allah kepada orang lain. Adakah perasaan ini datang dengan sendirinya atau kita sendiri yang menghadirkannya.

Pada pengalaman saya, perasaan hasad dengki ini memang ada pada setiap manusia diatas dunia ini, cuma bagaimana kita mengawalnya. Samada kita menjadikannya positif atau negatif.

Saya ingin memberi satu contoh, apabila kita melihat salah seorang kawan kita menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, datang berjumpa kita dan kita merasa iri hati dengan apa yang dia dapat kemudian tertanam didalam hati untuk kita menjadi lebih berjaya dari dia.Ini adalah suatu yang positif.

Ia akan menjadi negatif sekiranya kita cuba merendahkan kawan kita tanpa memberi semangat dan bangga dengan apa yang kawan kita capai. Kemudian cuba mencari jalan untuk untuk menjatuhkannya. Cuba elakkan melakukan perkara seperti ini.

Pada pendapat saya, rezeki adalah pemberian Allah kepada kita, tidak kira dari segi apa pemberian sekali pun. Setiap hamba mempunyai rezeki masing-masing. Allah sentiasa adil kepada hamba-hambanya. Ingat apa saja yang Allah berikan, kita perlu terima dengan reda dan bersyukur.

Kenapa kita perlu dengki, wahal, masing-masing Allah telah kurniakan kepada kita segala nikmat yang tidak terhingga. Jadi cuba latih diri kita supaya dapat mengawal perasaan hasad dan dengki yang ada dalam diri kita.

Bagaimana untuk mengawal perasaan hasad dengki ini?

Apa yang saya lakukan apabila hadir perasaan seperti ini, saya cuba beristifar dan memohon ampun kepada Allah. Walaupun perasaan ini hadir, saya cuba melawan dengan mengucap suatu yang positif seperti mengucap tahniah memberi semangat dan saya tanam dalam diri saya untuk berjaya menjadi seperti yang dicapai.







Tuesday, April 19, 2011

Lumrah hidup

Alhamdulilah, bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah dan rahmat Allah kepada kita, masih lagi kita bernafas dan meneruskan kehidupan ini.

Bagaimanapun kehidupan kita, samada susah atau senang hidup mesti diteruskan.Tiada perasaan putus asa muncul didalam hati malah usaha sentiasa diteruskan agar mencapai apa yang diidamkan selama dalam hidup ini.

Sebagai seorang manusia kita sentiasa merasa tidak pernah puas dengan anugerah yang Allah berikan kepada kita. Itulah dinamakan manusia.

Kadang kala, kedengkian sentiasa muncul dalam diri kita sendiri apabila melihat orang lain mendapat nikmat dan kejayaan.

Sebenarnya apa yang aku inginkan dalam hidup aku ini. Aku masih merasa diri aku ini kosong, masih tidak lagi cukup ilmu yang aku ada sekarang.

kadang kala aku merasa diri aku ini adalah hebat dengan apa yang aku ada. Itu adalah riak dan takbur yang muncul dalam diri aku ini.

Aku tidak pernah mengikut kehendak hati aku apabila perkara ini berlaku. Istifar akan muncul dalam benak hatiku setelah muncul perasaan seperti ini.

Ingat lagi ketika aku berada di sekolah rendah dan menengah, aku amat berminat sekali dengan ilmu kebatinan seperti kebal, berubat , menghaibkan diri dan lain-lain lagi.

Itu apa yang aku inginkan ketika itu tetapi semua ini tidak memberi kepuasan dan ketenangan kepada aku. Malah menyebabkan aku sentiasa runsing.

 Minat aku kepada seni mempertahankan diri amat mendalam kerana ketika itu darah masih panas didalam otak aku hanya memikir untuk mempertahankan diri sekiranya ada orang yang mengangu aku.

Apa yang aku fikirkan sekarang adalah ilmu persilatan sekiranya dicampur dengan amalan kebatinan yang tidak tahu asalnya menyebabkan terjadinya amalan-amalan sonsang dan menghadirkan jin pada diri seseorang.

Untuk selamat dunia akhirat, lebih baik kita tumpukan kepada latihan fizikal daripada amalan kerohanian yang bukan berasal dari nas-nas Al Quran dan hadis Nabi S.A.W.

Kita lihat bagaimana Islam berkembang sehinggan menguasai 1/3 dunia. Adakah orang islam mengamal ilmu-ilmu kebatinan yang bukan berasal daripada Al Quran dan As sunnah.

Sebenarnya kejayaan orang islam dahulu adalah hasil usaha orang islam serta ketakwaan kepada Allah. Orang Islam berpegang dengan teguh dengan ajaran Islam menyebabkan Allah memberi kejayaan kepada pihak islam.

Amalan kebatinan yang diamalkan dalam masyarakat melayu kadang kala membawa kepada kesyirikkan dan menghadirkan syaitan menjadi pendamping kepadanya.

Sekiranya kita mendekatkan diri kepada Allah insyaallah, Allah akan melindungi kita dan menjauhkan kita dari bala dan bencana.

Malah kita akan mendapat kekuatan tanpa kita sedari kerana semuanya daripada Allah. Allah yang menjadikan segalanya.

 kalau Allah inginkan sesuatu perkara itu terjadi maka akan terjadilah sesuatu itu. Kita juga perlu berusaha seperti mempelajari ilmu pertahanan diri yang bebas daripada amalan sonsang serta menguatkan fizikal dan mental untuk menghadapi kehidupan yang penuh dengan dugaan.

Wednesday, September 1, 2010

Perasaan serba salah muncul apabila kita melakukan kesalahan.

Risaunya, bagaimana semua ini boleh berlaku. Berani buat berani tanggung, sudah terlanjur buat salah tetapi tidak mengaku. Ini merupakan salah satu fenomena yang berlaku kepada diri kita apabila kita melakukan kesalahan.

Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan kerana manusia itu tidak maksum. Semua kesalahan yang berlaku mengikut hawa nafsu semata-mata.

Misalannya kita telah menipu ibu kita dan perkara itu akan menyebabkan sesuatu yang amat memalukan keluarga.

Ponteng sekolah, Ibu bapa kita dirumah yakin kita pergi ke sekolah tetapi kita menipu dengan pergi ke tempat yang melalaikan seperti shopping complex, pusat snooker dan sebagainya.

Keadaan ini menyebabkan jiwa kita tergangu kerana kita telah membohongi ibu bapa kita.

Antara contoh lain, kita berjanji dengan rakan kita tetapi kita tidak tepati janji itu menyebabkan rakan kita terasa hati. Keadaan ini menyebabkan timbulnya perasaan serba salah.

Semua kesalahan yang kita lakukan dengan kita menyedari kesalahan yang kita lakukan itu menyebabkan timbulnya perasaan serba salah. jadi bagaimana untuk mengelak perasaan ini berlaku.

Jadi cuba elakkan daripada melakukan kesalahan dan juga, jadilah seorang sering meminta maaf sekiranya melakukan kesalahan.

Apabila kita minta maaf, keadaan ini menyebabkan perasaan lega dihati dan hilanglah perasaan seba salah.

Monday, August 30, 2010

Kembali kepada lumrah kehidupan kita


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Sebenarnya aku ingin menyampaikan apa yang aku fikirkan dalam fikiran aku.

 Mungkin benda ini ada kebenarannya dan mungkin benda yang aku tulis ini suatu yang bertentangan. Kalau ada yang tidak setuju dengan apa yang aku tulis terpulanglah kerana kita mempunyai pendapat masing-masing.

Apa yang aku tulis ini cuma bayangan dari imaginasi aku. sebenarnya, aku fikirkan bagaimana sekiranya kita hidup tanpa teknologi zaman sekarang. maksud aku teknologi yang menberi kesan buruk kepada bumi kita.

bagaimana sekiranya kita hidup tanpa elektrik, tanpa mengunakan bahan bakar seperti petrol, diesel, dan sebagainya. Makanan yang kita makan tanpa pengawet, tanpa racun perosak dan tanpa mengunakan bahan-bahan kimia yang merbahaya.

kehidupan kita tanpa semua yang disenaraikan diatas adalah boleh berlaku sekiranya kita inginkan.

Perkara diatas diciptakan untuk memudahkan manusia dalam kehidupan seharian. Sebaliknya banyak memudaratkan manusia dan juga alam sekitar dalam jangka masa yang panjang. itu yang aku fikirkan

Saturday, May 15, 2010

24 jam sebagai seorang muslim

Bangun diawal pagi

Seorang yang berjaya adalah seorang yang berjaya meninggalkan katilnya dan mengerjakan solat subuh yang merupakan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Ini merupakan suatu jihad kerana bangun di awal pagi merupakan suatu yang amat sukar bagi sesentengah orang.

Bangun diawal pagi adalah kejayaan pertama bagi orang yang beragama islam kerana berjaya melawan nafsu tidur untuk mendekatkan diri kepada Allah yang esa.

Sebagai seorang islam kita perlu melaksanakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan.

Bangun diawal pagi adalah suatu nikmat kerana kita akan merasa tenang dan lapang selepas kita mengerjakan solah dan kita akan merasa lebih tenang apabila kita membaca Al Quran dan berzikir memuji-muji Allah swt.

Semua ini akan memberi kesan kepada jiwa kita sekiranya dilakukan secara istiqomah tetapi nikmat itu tidak akan datang sekiranya dilakukan secara sambil lewa dan tidak istiqomah.

Mencari ilmu

ilmu Allah itu sangat luas, oleh itu sebagai seorang muslim kita perlu berusaha mencari ilmu sebanyak yang mungkin. 

Amalan membaca adalah suatu yang amat penting dalam mencari ilmu kerana dengan membaca kita akan mendapat mempelajari dan mengetahui suatu ilmu yang baru.

Sekiranya kita selalu membaca, minda kita akan menjadi tajam kuat. kadang kala ada orang berpandangan umur empat puluh baru akan mempelajari ilmu agama.

Pandangan itu adalah pandangan orang yang berfikiran cetek dan tidak berminat untuk mendalami ilmu Allah yang meliputi langit dan bumi.

kita perlu ingat ilmu itu perlu dicari setiap masa dan sekiranya ada kelapangan. ilmu yang dicari hendaklah seimbang antara dunia dan akhirat supaya kita tidak mengabai salah satu diantaranya.

kita perlu melaksanakan keduanya dengan seikhlasnya agar mendapat keredaan Allah.

Allah lah yang berkuasa memberi ilmu kepada hamba yang dikehendakinya. jadi sentiasalah berdoa agar Allah memberikan ilmu yang bermanfaat kepada kita.

Sebagai seorang islam kita perlu mengaplikasikan ilmu yang kita perolehi dalam hidup kita dengan sebaik mungkin dan menyampai kepada orang lain sekadar yang kita mampu.

kita perlu mengamalkan amalan mencari dan menyampaikan ilmu dimana sahaja kita berada agar kita akan menjadi umat islam yang mempunyai pengetahuan dalam semua bidang ilmu.

Sekiranya kita menyampaikan segala ilmu yang kita ada, Allah akan memberi banyak lagi ilmu kepada kita. Jadi jangan kedekut ilmu dan jangan riak dan takbur dengan ilmu yang ada. 

Carilah ilmu setiap masa dan di mana jua berada jadikan amalan membaca sebagai suatu amalan harian dan istiqomah dalam mencari ilmu.

Insyallah zaman kegemilangan islam dahulu akan kembali semula sekiranya kita memgamal amalan mencari dan menyampaikan ilmu setiap masa dan dimana jua kita berada.

Berfikir

Berfikir adalah suatu proses dimana seseorang itu mencari idea-idea baru apabila berhadapan dengan masalah dan berusaha menyelesaikan masalah itu dengan segala idea-idea yang terhasil.

Kemajuan yang terhasil pada masa kini adalah hasil daripada pemikiran manusia untuk mendapat hidup yang lebih baik. 

Kemajuan akan tercapai sekiranya manusia mengunakan akal yang dianugerahkan Allah untuk memikirkan sesuatu yang dapat memberi kemudahan kepada manusia.

Semua urusan yang terhasil di dunia ini adalah datangnya dari pemikiran seseorang itu. 

Sebagai seorang islam, kita perlu bersyukur dengan segala anugerah pemberian Allah ini kerana dengan akal pemberiannya kita dapat berfikir untuk meneruskan hidup di dunia yang penuh dengan dugaan dan rintangan.

Apakah yang akan berlaku sekiranya nikmat akal ini ditarik semula oleh Allah. Taraf manusia akan menjadi sama dengan semua haiwan-haiwan yang ada di bumi ciptaan Allah ini. 

Nikmat akal ini perlu disyukuri setiap masa dan digunakan dengan sepenuhnya.

Sebagai seorang islam, kita perlu mengunakan pemikiran untuk berfikir tentang kebesaran Allah dengan penuh keikhlasan kerana kita akan merasai betapa hebat dan bijaksananya Allah itu.

Dengan melihat dan merenung alam, keimanan kita juga akan bertambah kepada Allah kerana semua ciptaan Allah itu tersusun rapi tanpa sedikit kelemahan. 

Sesuatu yang dicipta oleh Allah di muka bumi ini ada tujuannya sekiranya kita fikirkan tentang semua ini.

Perkara yang mudah yang boleh dilakukan oleh seorang islam adalah dengan melihat kejadian dirinya sendiri dan menimbulkan persoalan. 

Selain itu, melihat dan berfikir tentang kejadian tumbuhan adalah salah satu yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah.

Oleh itu gunakanlah akal pemberian Allah ini untuk berfikir tentang perkara yang boleh memberi faedah kepada kehidupan kita dan dapat menambah keimanan kepada Allah sebagai seorang muslim yang sejati.

Sunday, May 2, 2010

selesai sudah ijazah.

Asalamualaikum dan salam sejahtera, sudah lama saya tidak menulis blog. sekarang saya kembali semua untuk menulis. tujuan saya menulis blog motivasi diriku sebenarnya adalah bertujuan untuk memotivasikan diri saya sendiri. Mungkin apa yang saya tulis dapat memberi motivasi kepada kawan-kawan semua.

Akhirnya selesai juga pengajian ijazah saya selama 3 tahun di Universiti Putra Malaysia. Pelbagai rintangan yang saya lalui semasa pengajian saya. Perkara ini telah mengajar saya erti kesabaran dalam melalui liku-liku kehidupan ini.

Saya ingin melupakan segala kenangan pahit dan saya akan sentiasa mengingati segala kenangan terindah saya semasa bergelar seorang mahasiswa. kenangan ini akan saya ingat sehingga akhir hayat saya.

Saya terkenang peritiwa lalu, yang mungkin dapat memberi motivasi kepada kawan-kawan semua. Sebenarnya, semasa saya sekolah rendah saya tidak pernah terfikir untuk meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. saya hanya berfikir untuk menamatkan sekolah dan berkerja kilang kerana saya sedar saya tidak sepandai kawan-kawan saya yang lain ketika itu. saya sangat tidak suka belajar sehinggakan kerja sekolah semuanya saya tidak pernah siapkan.

Akibadnya, saya mendapat keputusan yang tidak memuaskan. ketika itu saya berasa sangat sedih sekali apabila saya melihat kawan-kawan saya menjerit kegembiraan kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

Terdapat perubahan yang amat aneh ketika saya di sekolah menengah. Secara tiba-tiba, timbul kesedaran dalam diri saya. Baru saya sedar ketika itu, saya mula merenung masa depan memandangkan family saya yang serba kekurangan. Pelbagai dugaan dan kesusahan yang kami alami membuatkan saya sedar untuk belajar bersungguh.

Ketika sekolah menengah saya sering mendapat keputusan cemerlang dan dapat menduduki kelas pertama. Saya bukan seorang yang pandai seperti kawan-kawan saya yang lain membuatkan saya sentiasa belajar setiap masa yang saya ada. duit yang saya ada saya gunakan untuk membeli buku latihan dan buku rujukan. saya lakukan sebaik mungkin.

Hasil daripada usaha saya, saya mendapat keputusan yang agak baik diperingkat PMR dan SPM walaupun tidak secemerlang mana. alhamdulilah, saya berjaya masuk ke matrikulasi dan akhirnya saya berjaya menyambung pelajaran saya diperingkat ijazah di upm.

saya berharap saya akan berjaya ke peringkat yang lebih tinggi. bulan 12 ini insyallah saya akan menyambung pengajian saya diperingkat sarjana. saya berharap saya dapat melakukannya dengan baik.